Tuesday, March 2, 2010

Wanita Uzbekistan Guna Salon Simpan Dadah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama)--Seorang wanita rakyat Uzbekistan yang bekerja di salon kecantikan di sini di tahan polis Sabtu lepas kerana disyaki mengedar dan menyimpan dadah jenis heroin di salon itu.

Wanita itu ditahan di salon yang terletak di tingkat satu sebuah premis perniagaan di Bukit Bintang bersama-sama lima bungkusan plastik lutsinar berisi bahan serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 2,280 gram yang dianggar bernilai RM 200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata wanita yang berusia 27 tahun merupakan janda dan mempunyai seorang anak di Uzbekistan itu dipercayai menyembunyikan dadah di dalam sebuah bilik di salon itu.

Beliau berkata suspek yang masuk ke Malaysia pada 24 Nov tahun lepas melalui Thailand telah diarah oleh Jabatan Imigresen Malaysia supaya meninggalkan negara ini 16 Feb lalu kerana tinggal melebihi tempoh, tetapi dia tidak berbuat demikian.

Kang berkata dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan rata-rata pelanggannya merupakan pelanggan salon itu yang juga dari Timur Tengah.

Beliau berkata polis kini mengesan pemilik salon itu yang juga dari Timur Tengah.

Suspek yang bekerja di salon itu sejak lima bulan lepas ditahan reman selama seminggu sehingga 6 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Kang berkata seramai 296 orang, termasuk 47 wanita, ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah Ops Tapis yang dijalankan selama seminggu dari 22 hingga 28 Feb lepas di ibu negara.

"Semua yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun dan polis merampas pelbagai jenis dadah seperti heroin seberat 79.54 gram, syabu (251.05 gram), ganja (31.55 gram), ketamine (22.3 gram), dan ecstacy (16 biji)," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan adalah rakyat tempatan dan polis akan mempergiatkan operasi sedemikian setiap bulan bagi mengurangkan jenayah jalanan.

SUMBER:BERNAMA

2 comments:

  1. Pemilihan berita ini baik. Walaupun hanya wanita Uzbekistan menjadi fokus, namun barang bawaannya merbahaya kepada masyarakat dan usaha polis membanteras ini molek dipuji.

    ReplyDelete