SELANGOR, 16 MAC 2010: Warga emas merupakan aset negara. Pengalaman dan nilai murni yang menjadi amalan golongan warga emas adalah sesuatu yang sangat berharga bagi masyarakat dan juga bangsa.
Presiden Persatuan kebajikan Usia Emas Malaysia, Syed Barkat Ali Syed Ali berkata, “Warga emas merupakan aset negara yang berharga kerana nilai-nilai murni yang sudah sebati dalam diri golongan tersebut. Aset itu perlu digunakan sepenuhnya untuk manfaat bersama,” katanya dalam sesi temubual, di sini pagi tadi.
Persatuan Kebajikan Usia Emas Malaysia adalah sebuah organisasi yang memanfaatkan pengalaman warga emas dengan menganjurkan program yang menjadikan warga emas sebagai golongan yang dapat membantu menerapkan nilai murni dalam masyarakat Malaysia.
“Kerajaan perlu menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan warga emas seperti mencari sukarelawan yang sentiasa membuat lawatan setiap bulan ke rumah warga emas yang tinggal berseorangan. Selain itu, ‘social mobilization’ di mana kita perlu menggerakkan masyarakat supaya memberi perhatian kepada kehakisan nilai murni serta mengembalikan nilai murni melalui kegiatan-kegiatan sosial seperti menganjurkan program yang mampu meningkatkan nilai murni yang sudah terhakis dalam kalangan masyarakat sekarang terutamanya warga belia,” katanya.
Syed Barkat Ali berkata, dalam usia emas, penerapan nilai-nilai murni akan lebih meningkat. Masyarakat sekarang tidak menyedari aset bernilai yang ada pada golongan tersebut sehinggakan ada kes-kes yang menyayat hati berlaku membabitkan golongan tersebut.
Warga emas ialah golongan yang paling lemah dari segi keupayaan yang menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab memperdaya mereka bagi kepentingan diri sendiri. Kejadian sebegini berlaku kerana hilangnya rasa hormat di kalangan masyarakat terhadap golongan tersebut.
“Sifat hormat itu adalah berkaitan dengan nilai murni yang diterapkan dalam masyarakat oleh masyarakat dan untuk masyarakat. Timbulnya tanggapan masyarakat bahawa warga emas sebagai beban adalah kerana sudah tiada rasa hormat pada integriti nilai-nilai murni itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, dua faktor yang merosakkan nilai murni dalam masyarakat ialah hormat dan kepertanggungjawaban. Masyarakat perlu lebih faham makna hormat dan peka dengan tanda-tanda hormat. Jika makna hormat dan tanggungjawab difahami sepenuhnya, maka nasib warga emas di Malaysia akan lebih terbela.
Malaysia merangkumi 65 % rakyat yang berumur bawah 35 tahun dan 7 % rakyat yang berumur lebih 60 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sudah dinilai.
ReplyDelete