KUALA LUMPUR: Kecewa dengan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tunduk kepada DAP, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas, berkuat kuasa serta-merta.
Tan berbuat demikian kurang 15 jam selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin mengumumkan keluar PKR dan menyertai Umno, kelmarin.
Tan yang baru lima hari lalu dikenakan tindakan disiplin kerana mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan mempertikaikan kepemimpinan PKR, kini menyerahkan kepada keadaan untuk menentukan masa depan politiknya.
Beliau mendakwa tindakannya juga didorong pembunuhan karakter dilakukan terhadapnya oleh sebilangan pemimpin PKR.
"Sejak 8 Mac 2008, saya amat kecewa, sedih dan keliru kerana harapan baru kepada PKR sebagai parti yang berlandaskan kebenaran, layanan adil kepada rakyat, telus dan kepemimpinan berwibawa tidak pernah muncul, sebaliknya mendapati slogan itu satu mitos dan politik dongeng.
"Saya juga kesal dengan sikap kepemimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu impian ke Putrajaya tercapai dan tidak sanggup tunduk kepada sikap diktator serta cara kerja Guan Eng yang angkuh dan melampau serta langsung tidak boleh menerima teguran atau kritikan.
"Guan Eng cuba menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan milik keluarganya," katanya yang membacakan kenyataan lima muka surat pada sidang media di sini, semalam.
Rabu lalu, Tan dikenakan tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan mempertikaikan kedudukan Dr Syed Husin Ali selaku Timbalan Presiden PKR.
Hubungan antara pemimpin pembangkang di Pulau Pinang mulai dingin selepas Tan mengkritik kepemimpinan Guan Eng yang disifatkan tidak mempunyai kelas dan tidak melayan rakan komponen parti secara baik.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Tan mengalahkan Datuk Zainal Abidin Osman (Barisan Nasional) dengan majoriti 3,087 undi.
Ketika ini, PKR mempunyai 29 kerusi di Dewan Rakyat, DAP (28), Pas (23) dan tiga Ahli Parlimen Bebas.
Tan berkata, beliau tidak nampak bila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melupakan impiannya untuk menduduki kerusi Perdana Menteri di Putrajaya.
"Ketaksuban beliau untuk menjadi Perdana Menteri bukan saja mengorbankan rasa bangga dan jatidiri ahli, malah menyebabkan kekecewaan di kalangan penyokong PKR dan pakatan pembangkang," katanya.
Dalam pada itu, Tan mengesahkan beliau tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Guan Eng; Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berhubung kenyataan mereka beliau mencampuri urusan proses tender terbuka di Pulau Pinang.
|
|
|
Top of Form
sumber:Berita Harian.
Pemilihan berita ini dari aspek politik tanahair menjadi bacaan kalangan individu dari Parti Keadilan Rakyat, United Malays National Organization, serta pemerhati dan peminat.
ReplyDeletePerhatikan penggunaan Tee Beng, lebih molek anda gunakan seterusnya pada tajuk, kerana Tan terlalu umum untuk dikenali.
ReplyDeleteSudah dinilai.
ReplyDelete