Monday, March 8, 2010

HENTIKAN KEBIMBANGAN KAMI!

SHAH ALAM, 8 March- Kebimbangan yang melanda penduduk-penduduk di kawasan perumahan komersial tidak pernah berpenghujung kerana pada hari ini, penduduk sekali lagi digemparkan dengan satu lagi kes kecurian yang melibatkan penduduk yang juga merupakan salah seorang penuntut institusi berhampiran. Kes ini melibatkan kecurian sebuah kereta model Satria Neo berwarna hitam. Kejadian tidak bermoral ini berlaku pada kira-kira jam dua hingga tujuh pagi kerana mangsa baru sahaja menyedari perkara itu sejurus sahaja keluar dari rumahnya dan ingin ke kuliah pada pagi itu.

Mangsa, Ariq Andicka, 24 yang masih lagi terkejut dengan peristiwa yang melanda dirinya menyatakan bahawa beliau telah mengunci keretanya seperti rutin hariannya dan tidak pernah membayangkan kejadian ini akan menimpa dirinya.

“Saya berasa amat kesal kerana saya memakirkan kereta saya di tempat biasa dan mungkin si panjang tangan itu telah lama memerhatikan dan merancang untuk mencuri kereta saya. Saya amat berharap pihak polis dapat membantu menyelesaikan kes ini dan memberkas pencuri yang masih giat melakukan kegiatan haram itu” tambahnya lagi.

Menurut pihak polis yang membantu siasatan tersebut, tiada sebarang bukti ditemukan bagi membantu mencari si pencuri itu. Namun, polis akan tetap meneruskan usaha menjejaki pencuri kenderaan itu.

Memandangkan kes kecurian di kawasan perumahan ini semakin berleluasa, setiap individu diminta agar lebih berhati-hati dan bertindak lebih agresif dalam membantu membendung kes ini dari berpanjangan. Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab sekiranya terdapat tingkahlaku yang mencurigakan disekeliling dan segera melaporkan kegiatan itu pada pihak berkuasa.


BERITA DITULIS OLEH :HAZWANI HUSNA, 2009485286

1 comment: