Tuesday, March 2, 2010

Hanya Bekalan Ikan Import Berkurangan Hari Ini - Noh Omar (original/asal)

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar Selasa memberi jaminan bahawa bekalan ikan di pasaran mencukupi kerana hanya bekalan ikan segar diimport dari Thailand dan Indonesia sahaja yang berkurangan.
Sambil meminta pengguna tidak panik, beliau berkata mereka mempunyai pilihan untuk membeli ikan tempatan kerana Malaysia menghasilkan 70 peratus bekalan ikan segar dan bakinya diiimport dari negara jiran.

"Hari ini, memang tiada bekalan ikan segar diimport dari Indonesia ekoran pengimport dan pemborong ikan enggan menggunakan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) kerana berpendapat penggunaan KIBFG akan meningkatkan kos sekali gus menaikkan harga ikan di pasaran," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke Pasar Borong Kuala Lumpur bersama-sama anggota penguatkuasa Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) awal pagi Selasa.

Noh berkata sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi memantau masalah terutama kenaikan harga ikan sekiranya berlaku kekurangan di pasaran akibat tindakan boikot berkenaan.

Menurutnya penggunaan KIBFG diperkenalkan sejak 2006 dan ia akan dikuatkuasakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 1 Nov tahun ini dan bukannya dibuat secara mendadak.

"Selain dikuat kuasa secara berperingkat, kementerian juga memberi subsidi terhadap penggunaan KIBFG, berjumlah kira-kira RM2.4 juta secara keseluruhan.

"Tapi, nampaknya pengimport dan pemborong ikan masih tidak berpuas hati dengan membangkitkan pelbagai isu berkaitan penggunaan KIBFG," katanya.

Antara isu-isu ditimbulkan oleh pengimport dan pemborong ikan ialah harga KIBFG, penggunaannya menjejaskan kesegaran ikan dan mengapa hanya sebuah pengilang sahaja yang membuat KIBFG.

Sebagai jalan penyelesaian, beliau berkata kementerian telah pun bertolak ansur dengan mereka dengan memberi kelonggaran terhadap beberapa masalah yang dibangkitkan mereka seperti pengimport ikan bebas memilih pengilang membuat KIBFG untuk mendapat harga berpatutan.

Noh berkata dakwaan pengimport ikan bahawa hanya terdapat satu pengilang adalah tidak benar kerana sekarang terdapat empat buah pengilang membuat KIBFG.

"Semalam, saya telah pun berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan wakil pengimport ikan-ikan dari Indonesia dan hari ini saya akan berjumpa dengan wakil pengimport ikan-ikan dari Thailand untuk membincangkan isu penggunaan kotak ikan ini," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan seorang anggota Pemuda Gerakan Wilayah Persekutan bahawa wujud penyelewengan dalam penggunaan KIBFG.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Pemilihan berita ini baik. Perhatikan perenggan akhir boleh dijadikan lead menarik.

    ReplyDelete