Tuesday, March 9, 2010

Mohd Haniff Zahid (2008337201)

JHEAIK ambil keterangan ibu bapa kanak-kanak

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) akan mengambil keterangan daripada sepasang suami isteri dari Jelawang, Kuala Krai, berhubung tindakan mengahwinkan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun yang juga ketua jemaah yang disertai bapa kanak-kanak terbabit.

Jurucakapnya berkata, kes terbaru itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di negeri ini, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan keluarganya dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini.

“Kita belum dapat menentukan status pernikahan terbabit (antara budak perempuan dengan pemimpin jemaah itu) yang didakwa diadakan di sebuah madrasah berhampiran Masjid Besar Machang kerana mangsa dikatakan tidak hadir ketika pernikahan itu dilangsungkan.
Walaupun secara zahir, sekiranya akad nikah diwalikan bapa kandung adalah sah, tetapi itu masih terlalu awal untuk diputuskan kerana biasanya kes membabitkan kanak-kanak memerlukan kebenaran bertulis mahkamah.

“Justeru itu, kami akan mendapatkan keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit sebelum menentukan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, dalam kes yang membabitkan pernikahan budak perempuan berusia 10 tahun sebelum ini, siasatan masih dijalankan tetapi kanak-kanak itu sudah dikenakan perintah mufarakah daripada lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.
“Kanak-kanak terbabit yang tercicir persekolahan itu, kini diletakkan bawah jagaan bapa saudara sebelah ibunya untuk keselamatan. Perintah tegahan turut dikeluarkan oleh mahkamah terhadap lelaki terbabit sehingga kes itu selesai,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhamad, berkata semua perkahwinan yang dilangsungkan di negeri ini perlu mematuhi syarat ditetapkan mengikut Enakmen Keluarga Islam Kelantan bagi memastikan pernikahan yang dilangsungkan itu tidak meragukan dari segi syarak dan undang-undang.

Beliau berkata, antara lain enakmen itu menetapkan syarat umur bagi pengantin lelaki ialah minimum 18 tahun, manakala perempuan pula mesti 16 tahun ke atas.

“Jika perempuan masih di bawah usia 16 tahun, kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah mesti diperoleh terlebih dulu,” katanya.

1 comment: