Sunday, April 4, 2010

Pakatan Rakyat Yakin Pertahan Kerusi Parlimen Hulu Selangor (Swing News)

SHAH ALAM, 4 April: Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menyuarakan keyakinan mereka bahawa kerusi parlimen P 094 Hulu Selangor akan terus kekal di tangan mereka. Ini berdasarkan beberapa faktor yang dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada usaha ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah kewibawaan pentadbiran kerajaan PR di Selangor yang terbukti, karisma calon PR yang bakal dipilih, dan peranan media baru yang semakin berpengaruh.

Di dalam masa dua tahun di tampuk pemerintahan, Kerajaan PR Selangor telah membuktikan keupayaan mereka di dalam mentadbir negeri Selangor secara efisyen. Kerajaan PR berjaya mengutip hutang yang banyak serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri Selangor. Justeru, adalah penting untuk PR menyalurkan maklumat sebegini kepada rakyat di peringkat akar umbi kawasan Hulu Selangor. "Jentera harus digemblengkan bagi memastikan maklumat yang luas mengenai kejayaan kerajaan Selangor diperoleh rakyat di kawasan itu," demikian menurut Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mahfuz Omar.

Kemampuan dan tarikan calon yang dipilih untuk pilihan raya kecil kali ini juga menjadi satu faktor yang meyakinkan PR bahawa pilihan raya kecil kali ini akan menjadi milik mereka. PR, melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai kemampuan memilih calon yang berwajah baru, berkaliber dan berkemampuan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat sebagai ahli parlimen kawasan tersebut. Di pihak BN pula, timbul desas-desus percakaran dalam meletakkan calon di antara parti-parti komponennya dan kemungkinan meletakkan calon berwajah lama. Walaupun calon yang akan dipilih berwajah lama, ini menunjukkan ketandusan BN dalam mendapatkan wajah baru di kalangan mereka sendiri.

Satu lagi faktor yang dianggap penting dalam merencanakan kemenangan PR adalah peranan media baru yang dianggap semakin berpengaruh dan mendapat tempat di hati masyarakat tempatan. Kemampuan media baru yang terdiri daripada Internet dan sebagainya dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat dianggap sebagai satu kuasa penentu dalam perjalanan pilihan raya kecil kali ini. Ini disebabkan media-media massa yang telah hilang kepercayaan di kalangan rakyat akibat daripada terlalu menyebelahi pihak kerajaan Pusat. Golongan-golongan muda yang menjadi sasaran utama untuk meraih undi pada kali ini lebih gemar menggunakan media baru untuk mendapatkan maklumat. Media baru ini masih lagi gagal dikuasai oleh pihak BN, tetapi menjadi nadi penggerak bagi pihak PR. Ini terbukti melalui keputusan pilihan raya umum pada dua tahun yang lalu.

Pilihan raya kecil Palimen Hulu Selangor akan bermula dengan penamaan calon pada 17 April, manakala tarikh pembuangan undi telah ditetapkan pada 25 April. Tarikh-tarikh ini telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini menyediakan ruang sebanyak tujuh hari kepada calon-calon untuk berkempen di kawasan itu. Pilihan raya kecil pertama pada tahun 2010 ini diadakan akibat daripada kematian penyandang kerusi, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak pada 24 Mac yang lalu.

*artikel ini hanyalah untuk keperluan kursus BRO 538 Radio and Television News.

Mohd. Fairusredzuan bin Noor Azman

2009481854

mc23s4b

No comments:

Post a Comment