Tuesday, April 20, 2010

PKR Mampu Menang Di Hulu Selangor(SWING)

Setelah kematian penyandang kerusi parlimen P.94, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh pilihanraya kecil (PRK) untuk menggantikan Datuk Zainal Abidin yang telah meninggal dunia akibat sakit barah otak pada 25 April ini.

Mengikut sejarah P.94 Parlimen Hulu Selangor, sebelum kematian penyandang kerusi tersebut dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerusi Hulu Selangor merupakan zon selamat bagi Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1955 lagi dan pada pilihanraya Umum 2008 yang lepas, calon BN, Datuk G.Palanivel telah kalah dengan majoriti yang begitu tipis sekali, 198 undi.

Setelah tarikh pengundian ditetapkan pada 25 April dan hari penamaan calon pada 17 April 2010. PKR telah bergerak lebih awal dengan mengisytiharkan calon mereka, Datuk Zahid Ibrahim iaitu bekas Menteri semasa era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai calon mereka untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh mereka pada PRU ke- 12 yang lepas.

Tanggapan umum, sudah pasti rahsia besar Pakatan Rakyat boleh menang di parlimen pada PRU 2008 lalu adalah kombinasi isu-isu politik ketika itu dan disokong kuat oleh pengaruh peribadi calon Pakatan Rakyat, Dr. Zainal Abidin. Sebenarnya pengaruh isu politik hanya berupaya melonjak sokongan kira-kira 9,000 undi sahaja. Namun, sokongan peribadi kepada Allahyarham Dr. Zainal Abidin mampu menarik kira-kira 800 undi lagi. Atas jumlah undi inilah, Pakatan Rakyat menang di parlimen Hulu Selangor.

Sehubungan itu, peluang Pakatan Rakyat untuk menang pada pilihan raya kecil nanti amat kuat bergantung pada calon yang boleh mengatasi pengaruh peribadi calon BN.Apa yang penting,Pakatan Rakyat sewajarnya rasional dan membuat pertimbangan tepat bagi memenangi hati pengundi. Keutamaannya hendaklah kepada calon yang terbaik pada perkiraan pengundi tempatan yang bersifat campuran kaum. Di samping itu, faktor pelengkap ke arah kemenangan pilihan raya kecil nanti adalah bergantung pada sejauh mana Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerjasama politik yang menyaingi BN mampu mengolah gaya persembahan di pentas politik baru ini.

Bagi memenuhi nilai-nilai politik baru tersebut, medan pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah peluang bagi Pakatan Rakyat membina keutuhan dan perpaduan dalaman, mempamerkan keupayaan jentera parti dan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hendaklah cepat menangani isu-isu rakyat. Sekali gus berlakunya kebersamaan pemimpin dengan rakyat bagi memenangi pilihan raya kecil ke-10 ini dan ia disifatkan sebagai satu perjuangan untuk memenangi hati rakyat.

No comments:

Post a Comment